KELEBIHAN KEKURANGAN PERLABURAN SAHAM UNIT AMANAH

Kelebihan melabur dalam unit amanah:
Mengikut kemampuan
Ini merupakan kelebihan yang nyata sekali – tidak banyak kos diperlukan untuk melabur dalam dana amanah. Bagi pelaburan permulaan serendah RM1000, pelabur boleh membeli dana dan mendapat:
a)Kepelbagaian segera
Pelabur dalam unit amanah berpeluang menyertai lebih banyak sekuriti berbanding dengan pelaburan yang dibuat secara persendirian. Dana drp peserta runcit akan dikumpulkan untuk menjadikan modal yang lebih besar dan boleh digunakan untuk membeli saham lebih banyak.
Risiko boleh dikurangkan dengan kepelbagaian. Kerugian di beberapa kaunter boleh diimbangi oleh keuntungan diperoleh di kaunter lain. Pelabur boleh terus mengurangkan risikonya dengan melabur dalam beberapa dana dan tidak terhad kepada satu dana sahaja.
b)Mudah tunai
Pembelian dan penjualan unit amanah lebih mudah berbanding melabur terus dalam saham sesebuah syarikat di mana harga dan peluang untuk membuat urus niaga bergantung kepada penawaran dan permintaan saham pada masa itu.
c)Pengurusan profesional yang berterusan
Unit amanah diuruskan oleh kumpulan profesional. Pengurusan dana secara teratur dan berdasarkan fakta berbanding pelabur individu yang mungkin membuat pelaburan secara rambang. Keputusan pelaburan yang diambil oleh pengurus dana dibuat berdasarkan penyelidikan meluas dan kemahiran serta pengetahuan mereka yang mendalam didalam bidang ini.Pengawasan portfolio pelaburan dibuat secara berterusan berdasarkan maklumat yang telah diselidiki.
d)Peluang memiliki aset kewangan lebih meluas
Pengurus dana unit amanah boleh menjual beli produk pelaburan yang biasanya tidak berpeluang didekati oleh pelabur individu, seperti bon kerajaan dan bon korporat, yang mungkin dihadkan kepada pelabur institusi sahaja. Sebahagian daripada produk ini diniagakan dalam jumlah besar, dan ini mengehadkan kemampuan pelabur individu walaupun mereka diberikan peluang tersebut.
Kekurangan melabur dalam unit amanah:
a)Tertakluk kepada risiko pasaran
Memandangkan unit amanah melabur dalam sekuriti boleh pasar, sudah tentu ia terdedah kepada pergerakan pasaran. Pempelbagaian dalam pelaburan boleh membantu mengurangkan risiko tetapi tidak dapat menghapuskan terus risiko. Harga unit amanah turun naik, dividen mungkin dibayar tinggi ataupun rendah, dan anda mungkin mendapat untung atau rugi apabila menjual unit itu.
b)Tidak sesuai bagi pelaburan jangka pendek
Unit amanah merupakan jentera pelaburan yang sesuai bagi pelaburan jangka sederhana hingga panjang. Ini kerana keuntungan daripada pelaburan dalam unit amanah tidak diperoleh segera. Seseorang boleh menjual unit yang dipegang apabila harga unit itu naik. Walau bagaimanapun, kenaikan harga, yang bergantung kepada pergerakan harga pasaran, biasanya lebih perlahan daripada pergerakan pasaran.
Kesan pempelbagaian berlaku secara dua hala iaitu risiko tertebar apabila pasaran mengalami kejatuhan, begitu juga ganjaran apabila pasaran meningkat. Dividen bagi unit amanah diberi secara berkala dan kesan pengkompaunan hanya dirasai dalam masa apabila keadaan ekonomi yang menguntungkan.
c)Tiada kawalan keatas pelaburan
Pelabur unit amanah membeli instrumen pelaburan besar-besaran, oleh itu mereka tidak mempunyai kawalan terhadap keputusan pelaburan yang dibuat oleh pengurus dana. Mereka tidak boleh memberitahu pengurus apakah saham yang hendak dibeli atau yang mana jangan dibeli, dan bila hendak dijual. Pengurus dana bertindak mengikut penasihatnya sendiri, bukannya pelabur. Pelabur hanya boleh memastikan bahawa objektif dan polisi pelaburan dana selaras dengan objektif mereka. Oleh itu, penting para pelabur membaca prospektus pelaburan secara teliti dan memilih pelaburan secara bijak.

No comments:

Post a Comment